16 Julai, 2010
Hari ni aku ada appointment kat PPUM untuk buat mammogram jam 2.45. Sebetulnya, appointment tu patut bulan Januari lepas tapi disebabkan kesibukan ngan anak2 yang nak mula sekolah, aku pun postponed ke tarikh lain dan tarikh yang diberi adalah pada bulan Julai. Punya la lama tempoh masanya. Sememangnya kalau tak ada hal penting, aku takkan tukar tarikh appointment sebab memang akan dapat tarikh 5-6 bulan akan datang.
Tahun ni merupakan tahun ke-3 aku buat mammogram. Yang suspennya, aku kena buat sampai 3 kali sebab katanya, macam ada gumpalan kat x-ray tu. So, pada 28hb ni pulak aku ada appointment untuk jumpa dr. Buat mammogram ni, suami aku yang bawak. Tapi masa appointment ngan dr nanti, aku kena gi sendiri sebab suami duty. Harap2 aku tak sesat masa pergi dan masa balik.
Setahu aku yang pernah aku dengar, sel barah ni sebenarnya ada dalam setiap tubuh kita tak kira lelaki mahupun perempuan. Yang membezakan ialah samada sel tersebut aktif atau tidak. So, boleh dikatakan ianya mungkin juga berpunca dari makanan yang kita makan atau minuman yang kita ambik yang akan mencetuskan kebangkitan sel2 tersebut.
Ni antara tanda2 barah payudara, boleh di baca di sini: http://www.biovco.com/kesihatan/barah_1.html
Di Malaysia, satu daripada 19 wanitanya mempunyai kebarangkalian untuk menghidap kanser payudara. Malah, ia mempertahankan status pembunuh nombor satu di kalangan kaum Hawa di negara ini sejak lama dulu.
Fakta yang jarang diketahui, kanser payudara bukan penyakit eksklusif wanita bahkan lelaki juga tidak kebal daripadanya. Walaupun serangannya jauh tidak sekerap jantina lawan namun, kemungkinannya tetap ada. Seperti wanita, lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser payudara berdepan dengan risiko yang lebih tinggi. Pun begitu, adalah sesuatu yang agak mengejutkan apabila sebahagian besar insiden kanser payudara semasa tiada kaitan dengan faktor genetik.
Perkembangan terbaru ini menyaksikan kira-kira 70 peratus kes kanser payudara terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai saudara kandung baik ibu, kakak atau adik perempuan yang pernah menghidapinya. Dalam erti kata lain, ‘menjadi seorang wanita’ itu sendiri merupakan faktor risiko utama kanser payudara. Setiap seorang sebenarnya terdedah dengan musuh utama mereka ini.
Berita baiknya, jika berjaya dikesan awal, kanser payudara boleh dirawat dengan berkesan. Umum mengetahui kata kunci bagi kanser payudara adalah, pengesanan awal menyelamatkan nyawa. Hasilnya, peluang untuk sembuh atau jangka hayat pesakit untuk hidup dalam tempoh lima tahun akan datang adalah tinggi, mencecah 95 peratus.
emeriksaan Sendiri Payudara (PSP)
Dilahirkan sebagai seorang perempuan, Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) pada setiap bulan selepas kedatangan haid bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kemestian selagi masih bernyawa. Ya, setiap bulan, seumur hidup mereka!
Kanser payudara merupakan salah satu kanser yang paling mudah dikesan dengan melakukan PSP. Profesional perubatan malah turut mengakui bahawa kebanyakan kes kanser payudara mulanya ditemui oleh pesakit itu sendiri melalui PSP rutin di rumah. Risikonya semakin meningkat dengan pertambahan usia. Semua wanita yang memasuki usia 20 tahun perlu memulai PSP dan menjadikannya satu tabiat baru dalam hidup mereka.
Bilangan kes juga dikatakan terus meningkat dengan begitu mendadak dari tahun ke tahun didorong oleh perubahan gaya hidup termasuklah mengaitkannya dengan diet tinggi lemak seperti pengambilan berlebihan daging merah dan kurangnya aktiviti fizikal. Punca sebenar? Tidak diketahui.
Kenapakah PSP sangat penting?
Buat masa ini, tiada cara untuk menghalang sel-sel kanser malignan daripada merebak dalam tisu payudara anda. Oleh kerana itulah, pengesanan awal menjadi kunci utama.
Pengesanan sendiri buah dada setiap bulan pada peringkat awalnya bukan bertujuan mencari ketulan tetapi yang lebih utamanya ialah untuk mengenal bentuk, saiz serta teksturnya. Dengan memeriksa payudara anda sebulan sekali, anda akan menjadi lebih sensitif dengan apa yang normal dan tidak normal bagi tubuh anda.
Bilakah masa terbaik memeriksa payudara anda?
Anda sepatutnya memeriksa payudara anda sekali sebulan, dalam tempoh tiga hari selepas haid berakhir ataupun tujuh hingga 10 hari selepas bermulanya haid anda. Inilah masanya payudara anda paling kurang bengkak dan sakit.
Jika anda telah berhenti datang bulan (menopause) ataupun jika kedatangan haid anda tidak tetap, atau anda telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payudara anda seelok-eloknya pada hari yang sama setiap bulan. Pilihlah satu hari tertentu yang mudah diingat, contohnya tanggal pertama setiap bulan. Begitu juga dengan kaum lelaki.
Ingat! PSP hanyalah sebahagian daripada regim penjagaan kesihatan payudara yang baik. Adalah penting bagi anda untuk memahami tiga komponen program imbasan payudara komprehensif yang diperlukan.
1. Pemeriksaan sendiri payudara
2. Pemeriksaan payudara klinikal tahunan oleh doktor apabila mencecah usia 30-an
3. Penyaringan mammogram berkala apabila mencapai umur 40-an (bergantung kepada individu dan sejarah keluarga)
Kanser payudara dan wanita Melayu
Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai kebarangkalian untuk menghidap kanser payudara sepanjang usia mereka. Ia paling biasa menyerang kaum Cina iaitu seorang dalam setiap 14 wanita diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24).
Sekalipun nisbah wanita Melayu untuk mendapat penyakit ini adalah yang paling kecil, sayangnya mereka muncul paling ramai di mana penyakit ini didiagnosis pada peringkat yang sudah lewat. Malangnya, tidak banyak yang boleh dilakukan pada tahap ini.
Antara 40 hingga 60 peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telah melewati tahap 3 dan 4. Kajian membuktikan bahawa, semakin lewat kanser itu dikesan maka semakin tipislah peluang untuk sembuh selepas rawatan. Ironinya, sehingga ke hari ini, saat ini, dua daripada tiga wanita Malaysia tidak melakukan PSP, antara langkah penyaringan utama dalam regim penjagaan kesihatan payudara mereka.
Usah takut dan panik sekiranya ada ketulan kerana sembilan daripada 10 benjolan yang dijumpai bukanlah kanser tetapi ketumbuhan tidak merbahaya. Sesetengah wanita memang berkecenderungan mewarisi benjolan pada payudara. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua benjolan dalam payudara. Segeralah berjumpa doktor kerana banyak yang boleh dilakukan jika ia dikesan lebih awal.
Tumor atau ketumbuhan yang sangat kecil (kurang dari satu sentimeter) juga mungkin tidak perlu dirawat dengan kemoterapi. Bagaimanapun, jika kanser payudara berukuran kira-kira 1.6 sentimeter, ia mungkin telah berada dalam payudara selama sekurang-kurangnya dua tahun. Pada waktu ini, sel kanser mungkin telah masuk ke dalam saluran darah atau sistem limfatik dan seterusnya merebak ke seluruh badan.
PSP, jadikannya satu tabiat baru dalam hidup anda. Bertukarlah kepada seorang yang proaktif! Meluangkan masa beberapa minit sebulan (anggaran 15 minit) untuk melakukan PSP mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda. Semuanya bermula dan berakhir dengan diri anda….
Sumber: Utusan Malaysia Online Info Kesihatan:
ARKIB : 06/07/2008
0 comments:
Post a Comment